Daripada Anas r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Hendaklah kamu semua makan sahur, sesungguhnya dengan bersahur itu akan beroleh keberkatan.”
(al-Bukhari dan Muslim)
Umat Islam disunatkan untuk makan sahur sama ada bagi puasa wajib mahupun puasa sunat, sekalipun mengambil sedikit sahaja dari makanan atau pun minuman. Hikmah disunatkan makan sahur ke atas orang yang hendak berpuasa ialah untuk memberi kecergasan dan memperbaharui niat untuk berpuasa pada esok harinya. Orang yang berpuasa dan makan sahur pada waktunya dengan niat kerana Allah, nescaya Allah akan memberikan rahmat dan keberkatan di dalam hidupnya dan inilah kelebihan yang tidak diperolehi melainkan bagi orang-orang yang bersahur sahaja. Betapa besarnya kurnia Allah ke atas kita sehinggakan makanan yang diambil ketika bersahur untuk berpuasa pun diganjari dengan banyaknya. Terdapat banyak hadis yang menyatakan kelebihan bersahur dan ganjaran-ganjarannya juga dinyatakan. Pengulas Sahih Bukhari, Allamah Aini telah menukilkan kelebihan bersahur daripada tujuh belas orang sahabat yang berlainan dan kesemua ulama bersetuju bahawa bersahur adalah mustahab (disukai). Kebanyakan orang sering terlepas daripada ganjaran besar ini semata-mata kerana kemalasan mereka. Setengahnya sudah tarawikh, mereka lantas makan (yang disangka mereka itulah makanan sahur) lalu pergi tidur. Betapa besarnya berkat yang telah mereka kerugian! Sahur sebenarnya bermaksud mengambil makanan sebelum hampir waktu subuh menjelang. Setengah ulama mengatakan bahawa waktu sahur bermula selepas sebahagian daripada malam berlalu (mirqat). Pengarang Kasy-Syaff (Zamakhsyari) telah membahagikan malam kepada enam bahagian, dan menunjukkan bahagian yang terakhir adalah waktu sahur, jadinya apabila malam (iaitu setelah matahari terbenam sehingga subuh) mengambil masa sebelas atau dua belas jam, maka dua jam yang terakhir adalah waktu yang tepat untuk bersahur. Maka hendaklah diingat juga bahawa mengambil makanan pada waktu yang paling lewat terlebih besar ganjarannya daripada makan pada waktu awal dengan syarat tidak ada keraguan bahawa makanan sahur telah diambil sebelum subuh. Banyak sekali hadis-hadis yang memberitahu tentang kelebihan bersahur. Rasulullah (saw) bersabda: "Perbezaan di antara puasa yang kita lakukan dengan yang dilakukan oleh Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) adalah terletak di dalam pengambilan makanan sahur yang mana mereka tidak melakukannya." Baginda bersabda lagi: "Bersahurlah kerana di dalamnya terdapat berkat yang besar, dan lagi, terdapat keberkatan di dalam tiga perkara iaitu dalam jamaah, di dalam makanan 'tharid' dan bersahur. " Di dalam hadis ini, penggunaan perkataan jamaah adalah bersifat umum, yang mana dapat disimpulkan bahawa ia termasuk solat berjamaah dan lain-lain amalan kebaikan yang dilakukan secara berjamaah kerana pertolongan Allah datang kepada mereka. Tharid adalah sejenis makanan yang enak yang diperbuat daripada roti bakar yang dimasak bersama daging. Perkara ketiga yang disebutkan di dalam hadis ini ialah sahur. Apabila Rasulullah (saw) mengundang mana-mana sahabatnya untuk makan sahur bersama-samanya, baginda selalu bersabda: "Marilah mengambil makanan yang berkat ini bersama-samaku." Di dalam sebuah hadis dinyatakan bahawa: "Bersahurlah dan perkuatkan puasamu. Dan tidurlah selepas pertengahan (khailullah) untuk membantumu bangun pada akhir malam (untuk beribadah). " Abdullah bin Harith (ra) meriwayatkan bahawa seorang sahabat telah berkata: "Suatu ketika aku menziarahi Rasulullah (saw) tatkala baginda sibuk bersahur. Kemudian, Rasulullah (saw) bersabda: 'Inilah perkara yang penuh dengan keberkatan.’ Oleh :Zindagi Ekk Safar http://www.mymasjid.com.my/forum/show.asp?id=56693 myMasjid-Mengembalikan kegemilangan Masjid |